Ciri ciri suami yang baik ialah lelaki yang bertakwa kepada Allah, menunaikan nafkah zahir dan batin secara halal, menggauli isteri dengan lembut dan kasih sayang, sabar atas kekurangan isteri, serta membimbing keluarga ke arah agama. Selebihnya, kebaikan itu terserlah pada perkara-perkara kecil setiap hari, dari ucapan sayang hinggalah buang sampah tanpa disuruh.
Bagi yang belum berkahwin, jemput baca ini untuk mengetahui ciri ciri suami yang baik dan menjadi panduan ketika memilih calon menantu lelaki yang baik. Bagi yang sudah berkahwin pula, jemput baca untuk betul-betul lihat, samada suami anda sekarang ini ialah suami yang baik.
Apa pentingnya tahu ciri ciri suami yang baik?
Masa belum kahwin, perangai sebenar belum terserlah. Bila dah kahwin, segala-galanya akan terbuka, buat isteri ternganga, macam tak percaya, begitu sekali perangai dia.
Jadi, kalau selepas kahwin, si suami masih lagi ada sifat dan perangai macam ini, ternyata beruntung si isteri. Ya memang suami ada hak pada isteri, tapi bukan bermakna boleh buat apa-apa sahaja sesuka hati.
Asas suami yang baik menurut Islam
Sebelum kita masuk ke perkara-perkara comel hari ke hari, eloklah kita letak dahulu asasnya. Dalam Islam, kayu ukur memilih pasangan bukan rupa atau harta, tetapi agama dan akhlak. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila datang kepada kamu lelaki yang kamu redha agama dan akhlaknya, maka kahwinkanlah dia.” (Riwayat Tirmizi). Inilah saringan pertama bagi mengenali bakal suami yang bertanggungjawab.
Takwa dan ketaatan kepada Allah
Takwa ialah tunjang segala-galanya. Suami yang menjaga solat lima waktu, menjauhi larangan syariat, dan istiqamah dalam ibadah lebih mudah dipercayai memikul amanah rumah tangga. Logiknya mudah: lelaki yang takut pada Allah akan berfikir dua kali sebelum menzalimi isteri. Imam al-Ghazali pernah menyebut, suami yang baik ialah yang menyempurnakan hak Allah dan hak isterinya serentak. Tauhid yang kukuh jadi benteng ketika rumah tangga diuji.
Memberi nafkah zahir dan batin secara halal
Nafkah ialah kewajipan suami yang tidak boleh ditawar. Surah An-Nisa ayat 34 menyebut lelaki sebagai penanggung kerana mereka membelanjakan harta untuk keluarga. Para ulama membahagikan nafkah kepada dua jenis yang berbeza:
- Nafkah zahir ialah keperluan fizikal: makanan, pakaian, tempat tinggal dan perbelanjaan harian yang halal mengikut kemampuan suami. Tak kira banyak atau sedikit, asalkan sumbernya bersih dan diberi dengan ikhlas.
- Nafkah batin pula merangkumi kasih sayang, hubungan suami isteri, perhatian emosi dan rasa selamat. Ramai yang lupa bahagian ini wajib juga ditunaikan, bukan sekadar bonus.
Suami yang celik kewangan dan pandai menguruskan duit rumah tangga lebih mampu memberi nafkah tanpa rumah tangga tercekik hutang. Sebab itu kestabilan kewangan jadi salah satu tanda penting, walaupun bukan yang paling utama.
Qawwam: pemimpin yang adil, bukan kuku besi
An-Nisa ayat 34 melantik suami sebagai qawwam, iaitu pemimpin dan pelindung keluarga. Tapi jangan salah faham, qawwam bukan lesen untuk berkuasa sesuka hati. Imam al-Qurtubi menjelaskan kepimpinan ini terikat dengan tanggungjawab menjaga, membimbing dan berlaku adil. Suami qawwam ialah imam yang dituruti kerana hikmahnya, bukan ditakuti kerana baran.
Menggauli isteri dengan baik dan akhlak mulia
Allah memerintah dalam An-Nisa ayat 19, “Dan bergaullah dengan mereka (isteri) secara baik.” Teladan terbaik ialah Rasulullah SAW yang membantu kerja rumah, bergurau dengan isteri, dan tidak pernah memukul isterinya. Pasangan Saidina Ali bin Abi Talib dan Fatimah RA juga jadi model cinta yang berpaksikan ibadah. Suami yang lembut dan berakhlak menjadikan rumah tempat berteduh, bukan medan perang.
Sabar, pemaaf dan tenang ketika berselisih
Tiada isteri yang sempurna, jadi suami perlu sabar memaklumi kekurangan pasangan tanpa berhenti membimbing. Sifat pemaaf dipuji dalam Ali-Imran ayat 134, iaitu mereka yang menahan marah dan memaafkan orang lain. Kestabilan emosi inilah yang membezakan suami matang dengan lelaki panas baran. Kalau pasangan anda cepat melenting bila tersilap sedikit, baca dahulu tanda-tanda dalam senarai red flags sebelum kahwin sebelum melangkah lebih jauh.
Membimbing keluarga ke arah agama
Suami yang baik bukan sekadar pencari rezeki, dia juga guru di rumah. Dia mengajak solat berjemaah, mendidik anak mengenal Allah, dan mendoakan kebaikan untuk seisi keluarga. Inilah peranan yang membawa isteri dan anak ke syurga: menjadi imam yang menegakkan agama tanpa paksaan kasar.
Menjauhi sifat dayus
Lawan kepada suami yang menjaga maruah ialah suami dayus, iaitu lelaki yang membiarkan kemungkaran berlaku dalam keluarganya. Contohnya membiarkan aurat isteri dan anak terdedah atau pergaulan bebas tanpa rasa cemburu pada agama. Mufti Wilayah Persekutuan pernah menegaskan menjaga maruah keluarga adalah tanggungjawab suami. Cara mengelaknya bukan dengan mengawal secara zalim, tetapi dengan membimbing dan menegakkan batas syariat secara berhikmah.
Matlamat akhir: sakinah, mawaddah dan rahmah
Semua ciri di atas mengarah kepada satu tujuan, iaitu rumah tangga yang sakinah (tenang), mawaddah (cinta) dan rahmah (kasih sayang). Inilah janji Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 21. Suami yang baik bukan yang sempurna, tetapi yang berusaha membina ketenangan ini setiap hari.
Ciri ciri suami yang baik
Sila jangan mencebik bibir. Percayalah, spesis suami yang baik dan penyayang masih wujud di muka bumi ini. Selepas asas agama tadi kukuh, barulah kebaikan itu menjelma dalam tanda-tanda harian yang kecil tapi terasa. Tanda-tanda ini selari dengan ciri lelaki setia penyayang yang sepatutnya kekal sebelum dan selepas ijab kabul.
Suami yang baik, selain dari rajin solat Subuh berjemaah, ada lagi beberapa perkara lain yang menampakkan dia sebenarnya orang yang baik-baik.
Suami yang baik, masih ucapkan ‘I love you’
Lelaki sebenarnya susah nak luahkan kasih sayang dengan mulut. Egolah katakan. Selalunya dia tunjukkan sayang dengan perbuatan. Entah perbuatan apa, tidaklah diketahui.
Kalau dah bertahun-tahun kahwin, si suami masih lagi tak lepas ungkapan ‘I love you’ dari mulut dia, sememangya dia memang betul-betul sayangkan kita.
Cuma kena hati-hati bila tak pernah kata ‘I love you’, tiba-tiba mengada-ngada cakap ‘I love you’. Itu mungkin petanda dia nak kahwin lain.
Suami yang baik, dia sayangkan mak dia
Bukan bererti dia anak mak, yang sanggup dengar kata mak, lantas menyisihkan isteri. Suami spesis ini adalah suami yang mampu membahagiakan dua wanita yang dia paling sayang. Dua wanita yang penting dalam hidup dia.
Apa yang mak dia nak, dia cuba tunaikan. Ada kalanya, isteri tak setuju. Lantas suami jenis ini bijak mencari penyelesaian.
Sebaliknya, apa yang isteri dia nak, dia akan cuba tunaikan juga. Bukan hanya satu ’side’ semata-mata. Walaupun ada jenis yang sembunyi-sembunyi, takut mak dia tahu.
Suami yang baik, dia sayangkan mak mertua dia
Bukan sahaja dia sayang mak dia, dia juga sayang mak kita. Walaupun status mak mertua, rasa hormat itu masih ada.
Suami yang baik tidak akan pilih kasih dan lebihkan mak sendiri. Mak mertu itu sama penting bagi dia.
Suami yang masih suka peluk isteri dari belakang
Awwwww, ini ‘sweet’. Bayangkan masa kita basuh pinggan di dapur, si suami rangkul pinggang kita dari belakang sambil membisikkan “Abang sayang ayang”.
Okay, sila jangan muntah hijau. Atau buat-buat muka nak muntah.
Cakaplah apa nak kata. Geli? Silakan terus dengan geli.
Belum rasa belum tahu. Bahagia, tahu?
Suami yang mendahulukan isteri dari kawan-kawan
Kawan ajak pergi futsal, dia belum jawab mesej. Kawan ajak pergi minum kedai mamak, dia biarkan sahaja mesej Whatsapp berlalu. Tidak mahu beri ‘bluetick’ katanya.
Suami jenis ini akan tanya isteri dulu untuk keluar. Bukan takutkan isteri, cuma hormatkan si isteri.
Ataupun, suami jenis ini akan jawab, “Aku ada hal laaa bro. Lain kalilah ye”. Padahal, tak ada apa-apa pun.
Kalau si suami pergi keluar juga, si isteri janganlah bagi renungan tajam sambil kata, “Pergilah, nak balik pukul berapa pun ikut suka”. Terguris hati dia.
Ciri ciri suami yang baik, dia sentiasa akan mendahulukan isteri.
Suami yang asyik nak berkepit dengan isteri
Ini suami yang jenis pergi kedai, dia angkut satu rumah. Si isteri pula yang rimas, nak kena bersiap.
Si isteri janganlah pula rasa si suami menyusahkan pula. Itu tanda dia sayang.
Hidup suami tak ‘complete’ tanpa isteri di sisi. Chewah!
Suami yang jenis buang sampah tanpa disuruh
Situasi normal ialah apabila si isteri asyik nak terpekik-terlolong minta si suami buang sampah yang dah penuh.
Peringatan yang pertama, gagal di laksanakan. Peringatan kedua, juga selalunya dibuat-buat tak dengar oleh suami.
Peringatan ketiga biasanya datang dengan bebelan panjang yang akhirnya akan buat kedua-duanya bermasam muka.
Ini bukan kisah mitos. Ini kisah benar. Orang dah kahwin pasti tahu.
Jadi, apabila suami adalah jenis yang tahu apa yang isteri dia nak, dan jenis yang tahu jalankan tanggungjawab, akan buang sampah tanpa disuruh.
Nampak mudah, tapi besar impaknya dalam hubungan rumahtangga.
Ingat, ciri ciri lelaki yang baik, dia akan buang sampah tanpa disuruh. Nampak remeh, tapi dari sinilah kita boleh lihat tanggungjawab.
Suami yang tak menyampuk bila isteri bercakap
Ini antara yang paling susah bagi suami. Selalunya, bila isteri mula bercerita, suami akan angguk dan dengar, sambil cuba menyampuk dan mematahkan hujah si isteri.
Sebaliknya, suami yang prihatian akan angguk, dengar, berkata “ooohhhh”, mengulang kembali hujah isteri, tanpa sedikitpun ‘judge’ pandangan isteri.
Di sini, komunikasi itu penting. Si suami yang pandai membiarkan isteri meluahkan perasaan tanpa diganggu, adalah suami yang bijak.
Walaupun sebenarnya si suami tidak faham apa-apa.
Selalu puji masakan isteri
Walaupun kadang-kadang rasanya tak seberapa. Kadang-kadang, suami ambil jalan tipu sunat juga untuk jaga hati si isteri.
Suami kena ingat, isteri ada kelebihan memori di sini. Isteri boleh ingat secara terperinci bila si suami komen tentang masakan si isteri yang tak sedap.
Lauk apa, hari apa, tarikah berapa, pukul berapa; semuanya tersemat di minda si isteri.
Memori ini akan dikeluarkan sebagai senjata suatu hari nanti. Buat suami, bersedialah.
Masih pegang tangan isteri
Masa belum kahwin, nak sangat pegang. Benda haram kan sedap. Bila dah kahwin, jarang-jarang perkara ini berlaku. Si suami biasanya jauh sebatu.
Jadi, berterima kasihlah pada suami yang sudi pegang tangan isteri, yang kedutnya semakin nampak jelas lantaran banyak buat kerja rumah.
Suami yang baik, dia tak akan malu untuk pegang tangan isteri sendiri. Makin lama berkahwin, makin dia rapat mahu pegang tangan.
Buat kerja rumah sama-sama
Ini sukar. Sangat sukar.
Selalunya, suami akan biarkan sahaja si isteri macam lipas kudung kemas rumah. Jadi, suami jangan marah bila ‘mintak, tak dapat’.
Ringan-ringankan sikit tangan, hilang sikit beban.
Suami yang baik tak akan tinggalkan isteri terkontang-kanting keseorangan.
Akhir kalam
Bagi suami yang sedang membaca tulisan ini, gunakanlah tips menjadi suami yang baik agar sentiasa disayangi isteri.
Maaf jika penulisan ini mengguris hati isteri yang suaminya lansung tidak ada ciri-ciri di atas. Tidak semua orang bertuah dikurniakan suami yang spesis sebegini.
Bertabahlah, dah banyakkan berdoa untuk suami. Semoga Allah kabulkan doa kita semua.
Akhirnya, ingat bahawa suami yang baik dan isteri yang baik saling melengkapi. Sama seperti suami perlu menunaikan haknya, isteri juga digalakkan menghayati ciri-ciri isteri solehah supaya rumah tangga benar-benar menuju sakinah, mawaddah dan rahmah.
Semoga bermanfaat.