Artikel ini bukannya tentang drama Perempuan Paling Bahagia di Astro Oasis lakonan Zahiril Adzim sebagai Rafa; dan Shera Aiyob sebagai Arissa.
Penulisan ini ialah perbincangan tentang anak dara, iaitu wanita belum berkahwin yang dikatakan bahawa golongan ini ialah perempuan paling bahagia.
Nampak macam tak logik bukan? Nampak macam berat sebelah sungguh kenyataan ini.
Pasti anda akan tertanya-tanya, apa kaitannya bahagia itu dengan status perkahwinan?
Perempuan paling bahagia ialah anak dara
Kajian sains yang anda boleh baca di laman Guardian dan Independent, mendapati bahawa wanita belum berkahwin ini ialah perempuan paling bahagia sekali. Kedengaran macam mengarut bukan?
Bukan saya yang kata.
Ini saintis yang kata.
Saintis tingkah laku dan pakar kebahagiaan, Paul Dolan berkata, orang dulu-dulu melihat seseorang perempuan itu dikatakan berjaya bila dia mempunyai suami dan anak-anak.
Walau bagaimanapun, zaman sekarang ia tidak lagi terpakai.
Zaman sekarang, walaupun ada suami dan dikurniakan anak, belum tentu bahagia.
Ramai yang kita lihat, suami baik, anak-anak pandai, tapi bercerai juga.
Adakah benar mereka tidak bahagia?
Mari kita rungkaikan kenapa.
Sebab #1: Tak perlu fikir tentang orang lain
Perempuan paling bahagia, hidupnya tanpa suami
Para isteri mungkin akan bersetuju jika mempunyai suami yang tidak bertanggungjawab.
Juga mungkin akan bersetuju jika ada suami yang tidak mahu membantu langsung dalam urusan rumahtangga.
Tahukah anda, faktor utama dalam perceraian di Malaysia ialah duit dan kasih sayang; iaitu tiada persefahaman?
Ia selari dengan hasil kaji selidik kami di mana 51% berpendapat bahawa kasih sayang lebih penting dari duit. Selebihnya, 49% berpendapat duit itu lebih penting dari kasih sayang.
Bila suami tidak boleh usahakan duit untuk bayar bil dan keperluan rumah, sudah tentu ia akan mengeruhkan keadaan.
Jika masing-masing buat hal sendiri dan tiada persefahaman, maka hubungan akan mula retak.
Si isteri akan penat buat kerja sendiri, tak usah kira.
Lelaki yang sudah berkahwin mendapat lebih banyak manfaat daripada perkahwinan kerana hidup mereka sentiasa tenang. Si lelaki ini boleh pergi kerja dengan senang hati tanpa memikirkan hal dan tanggungjawab rumahtangga.
Tambahan lagi, si suami ini hanya mahu menjalankan tanggungjawabnya di atas katil. Itu sahaja yang ada dalam kepala dia.
Jika yang anda sedang membaca ini ialah anak dara, apa pendapat anda?
Ini belum masuk bab mertua dan ipar lagi. Seriau atau tidak?
Bukankah lebih bahagia hidup seorang diri sahaja?
Kalau anda seorang suami
Tolonglah isteri di rumah. Jangan hanya pandai main telefon dan bergoyang kaki sambil menonton televisyen.
Sungguh, bila sekali dua si isteri penat, dia akan merungut kepenatan kerana tiada siapa yang mahu membantu melakukan kerja-kerja rumah.
Namun, apabila selalu sangat buat kerja bersendirian dan tidak dibantu, dia akan rasa putus asa dan tidak dihargai.
Maka, dari situlah akan bermula masalah dalam rumahtangga.
Perempuan paling bahagia, hidupnya tanpa anak-anak
Ia sebenarnya berbalik kepada persoalan di atas tadi, iaitu tentang suami.
Rumah bersepah. Kain baju tak bersidai. Jika sudah berangkat, tiada siapa yang nak lipat. Lantai tak bersapu.
Anak menangis minta susu. Yang seorang lagi sepahkan depan. Pusing belakang, yang seorang lagi sedang buat semak di dapur.
Haru biru jadinya.
Jika suami sama-sama tolong jaga anak-anak dan ambil berat tentang keadaan rumah, sungguh, isteri akan senyum sentiasa.
Para ibu yang ada anak; dan serabut menguruskan rumahtangga, pasti boleh ‘relate‘ dengan situasi ini.
Hinggakan ada masa-masa tertentu, akan bermain-main di fikiran, seronoknya kalau tak ada anak buat seketika. Boleh ada ‘me time‘ sentiasa’.
Tipu kalau tak pernah berfikiran sebegini. Cuma akhirnya, tidak sampai hati.
Jadi, bukankah hidup itu lebih bahagia jika kekal single?
Sebab #2: Boleh beli apa sahaja
Anak dara lebih kukuh kewangannya
Menurut kajian sains itu juga, kelebihan wanita bujang ialah dia mempunyai duit yang lebih banyak dari ibu bekerja. Mungkin sebab perbelanjaannya hanya untuk diri sendiri sahaja. Duit berkepuk-kepuk, tak tahu nak buat apa.
Sedangkan ibu bekerja, perlu bantu suami untuk menanggung keluarga. Jika ibu bekerja ini ada duit sekalipun, majoriti duit yang dibelanjakan hanyalah untuk anak-anak. Diri sendiri, tidak ada apa-apa.
Itu kalau ibu bekerja, ada juga duit untuk dibelanjakan.
Jika sekadar surirumah tangga, langsung tidak ada duit untuk belanja.
Sedih bukan?
Sebab #3: Tidak ada komitmen
Wanita bujang hidup lebih lama
Bila tidak ada komitmen dengan siapa-siapa, hidup akan jadi lebih tenang. Sudahlah tidak perlu fikir tentang orang lain, juga tidak perlu peduli tentang mahu tanggung orang lain.
Kata kajian itu lagi, kekal single akan menjadikan anak dara ini lebih sihat dan hidup lebih lama.
Wanita yang belum berkahwin cenderung untuk hidup lebih lama daripada rakan-rakan mereka yang sudah berkahwin dan mempunyai anak-anak
Jadi, setujukah anda jika dikatakan perempuan lebih bahagia jika terus kekal single?
Bahagia adalah pengorbanan
Wanita belum berkahwin yang sudah lanjut usia memang selalu dimomokkan dengan panggilan anak dara tua. Apatah lagi jika sudah lanjut usia, mencecah 30-an dan ke atas.
Akan ada mulut-mulut tempayan di luar sana yang mengata. Dia korbankan telinga dia untuk mendengar sindirian caci nista. Dia korbankan hatinya yang masih lagi menunggu rezeki.
Wanita yang sudah berumahtangga pula, pengorbanannya tidak sama. Dia sanggup berkorban apa sahaja untuk anak-anak, suami dan keluarga.
Walau apa pun status kita, kita tetap berkorban dalam kapasiti kita sendiri.
Perempuan paling bahagia dalam Islam
Sebagai orang Islam, adalah menjadi sunnah untuk mendirikan perkahwinan.
Dikurniakan anak adalah satu anugerah dari Allah. Jika pernah dilukai, janganlah terus berputus asa dan tidak mahu menjalinkan hubungan dengan mana-mana lelaki. Jika ada keraguan, buat solat istikharah dahulu, mohon petunjuk dari Allah.
Anggap sahaja kajian sains ini tidak tepat seratus-peratus dan bukan menurut Islam secara penuh.
Memetik sedikit perkongsian di IKIM oleh Ustaz Muhammad, bernikah adalah sunnah Baginda Nabi s.a.w.
Terdapat sunnah pada setiap perlakuan dalam pernikahan.
Semoga kita perolehi rumahtangga yang bahagia dan dibahagiakan oleh Allah SWT.
Rumahtangga yang bahagia bukan terletak pada mewahnya harta, bukan ada pada pasangan kita, namun bahagia letaknya di hati.
Allah SWT yang meletakkan kebahagiaan di dalam hati kita, sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah Al-Fath, ayat 4 yang bermaksud:
“Dia lah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman”.
Akhir kalam
Sekali lagi kami tegaskan, kajian tentang perempuan paling bahagia dan wanita belum berkahwin ini hanya sekadar kajian semata-mata. Belum tentu sahih dan terbukti kebenarannya.
Baca boleh, percaya 100% jangan.
Bagi yang belum bersuami, didoakan agar anda bertemu jodoh secepat mungkin dengan calon suami terbaik.
Bagi yang sudah bersuami pula, bertabahlah dengan ujian menguruskan rumahtangga, anak-anak dan suami.
Definisi perempuan paling bahagia bukan terletak pada status perkahwinannya. Sebaliknya, ia terletak pada hatinya.
Yakinlah, walau apa pun status perkahwinan anda, pengorbanan anda akan hadir dengan pahala jika hidup berlandaskan agama.
Semoga bermanfaat.