Walaupun anda bukan seorang isteri yang romantik, tak bermakna anda tak boleh berbuat sesuatu untuk menarik minat suami. Bila berdua, ada banyak peluang untuk menzahirkan dan menunjukkan rasa cinta terhadap suami. Sebenarnya, cara memikat hati suami tidaklah sesukar mana.
Yang paling utama, jangan takut untuk memulakan langkah pertama memikat hati si dia. Yakin dan beranikan diri untuk membawa perubahan dalam rumah tangga anda. Semestinya ia merupakan satu perkara yang menarik dan mampu memeriahkan lagi hubungan anda dengan sang suami.
Izinkan kami berkongsi.
Cara memikat hati suami
Mari ikuti beberapa tips untuk memikat hati pasangan yang paling disayangi iaitu suami.
1. Hadiahkan apa yang suami suka
Bukan kaum isteri sahaja yang suka diberikan hadiah. Para suami juga akan semakin mencintai anda kerana menghadiahkan apa yang disukainya. Memang benar, kebahagiaan tidak boleh ditukar ganti dengan barang mahupun wang ringgit.
Tetapi dalam konteks ini, ia adalah sebagai simbolik kepada ingatan dan penghargaan isteri terhadap suami. Ia mampu membuktikan bahawa anda memberikan perhatian terhadap apa yang diinginkan oleh si dia dan sanggup berkorban untuk dirinya. Sekali sekala tidak salah untuk membelanjakan wang bagi memikat hati pasangan anda.
Walau bagaimanapun, haruslah diingatkan bahawa untuk menghadiahkan apa yang suami anda inginkan jangan sampai menyusahkan diri sendiri. Hadiahkan sahaja apa yang anda mampu asalkan ianya sesuatu yang sang suami sukai. Tidak kira murah atau mahal. Yang penting adalah ingatan anda kepadanya.
2. Sokong minat dan hobi dia
Semua pasangan mempunyai minat dan hobi yang berbeza. Ada kalanya, terdapat pasangan yang isterinya minat bermain badminton tetapi suami tidak. Ada juga pasangan suami dan isteri mempunyai minat yang sama seperti berkayak.
Namun, sekiranya ada pasangan yang mempunyai minat dan hobi yang berbeza, ia bukanlah satu kekurangan terhadap hubungan pasangan itu. Sebagai isteri, jika suami anda mempunyai minat dan hobi yang berlawanan dengan anda, dukunglah sang suami dalam melakukan perkara yang diminatinya.
Kalau boleh, cuba untuk melakukan minat dan hobi suami bersama-sama. Mencuba sesuatu yang baru akan meluaskan lagi pengalaman dan mampu memikat hati suami anda.
Tambahan lagi, dengan sokongan dan dukungan yang diberikan oleh anda, sang suami dapat merasakan bahawa anda seorang isteri yang sangat memahami minat dan hobinya. Jadilah isteri yang open minded dan bersikap lebih matang terhadap apa yang suami anda suka lakukan. Namun begitu, pastikan anda mendukung minat dan hobi suami anda ke arah yang betul. Jangan pula mendukung suami membuat perkara yang menyalahi undang-undang dan agama.
Sayang juga harus berpada-pada.
3. Berhias untuk dia
Bila kita dengar tentang berhias untuk suami, semestinya kita ingat kena pakai yang cantik-cantik dan mahal sahaja.
Tetapi sebenarnya, anda tidak perlu membuang-buang waktu dan berhabis duit untuk berhias di depan suami. Untuk memikat hati suami bukanlah selalunya harus bersolek dan memakai pakaian yang cantik. Sebenarnya, anda boleh berhias hanya dengan memakai pakaian yang bersih dan selesa.
Selain itu, untuk menjaga ketrampilan diri juga bukan sesuatu yang sukar. Anda hanya perlu memastikan badan dan kuku anda sentiasa bersih, rambut sudah disikat rapi, gigi digosok 2 hingga 3 kali sehari dan seumpamanya untuk kelihatan terurus.
Namun begitu, elakkan dari memakai pakaian yang tidak diizinkan suami. Jika anda ingin memikat hati si dia, pakailah pakaian yang disukai oleh sang suami. Kalau perlu, anda juga boleh memakai sedikit minyak wangi dan perhiasan seperti subang dan rantai untuk kelihatan lebih menarik.
Jika anda inginkan suami yang kacak seperti pelakon Korea, anda juga harus terlihat cantik seperti pelakon Korea.
Bak kata pepatah, “tepuk dada, tanya selera”.
4. Pikat hati suami dengan masakan
Cara pikat hati suami yang seterusnya ialah dengan menjaga perutnya. Bukan usap-usap perut dia secara fizikal, tetapi mengenyangkan dia dengan masakan kita.
Ini adalah salah satu cara yang paling mudah untuk diikuti oleh isteri. Ya, memasak makanan yang disukai oleh suami mampu untuk memikat hati si dia sekaligus menaikkan selera makan suami.
Sebagai seorang isteri, pasti anda sudah tahu makanan apa yang disukai oleh suami anda. Apabila anda memasak makanan kegemarannya, si dia akan merasa terharu kerana anda sanggup meluangkan masa untuk menyediakannya. Suami yang baik akan menghargai usaha isteri dalam melakukan sesuatu yang terbaik untuk dirinya.
Tetapi, walaupun anda memasak makanan kesukaan si suami. Pastikan ianya seimbang dan tidak memasak dalam kadar yang berlebihan. Ini adalah untuk memastikan pasangan anda menjadi lebih sihat dan tidak terjadi pembaziran makanan.
5. Guna panggilan paling mesra dan manja
Untuk memikat hati suami, anda boleh menggunakan panggilan manja dengan memanggil suami seperti abang, sayang, kanda, dan seumpamanya. Ia bergantung kepada kreativiti anda. Jangan anggap panggilan tersebut seperti keanak-anakan dan tidak mendatangkan sebarang kesan.
Walhal, sekiranya anda menggunakan panggilan nama yang manja untuk suami, suami anda akan tersenyum kegembiraan kerana merasakan dirinya istimewa di mata anda.
Tidak susah pun untuk membuat suami anda jatuh cinta dengan anda walaupun untuk beribu kalinya. Gunakanlah panggilan manja ini sebagai kata ganti nama suami anda bila dan di mana sahaja anda berada. Ucapkanlah kata-kata yang indah dan baik untuk suami.
Harus diingatkan setiap apa yang diperkatakan itu adalah satu doa. Jadi kalau nak ianya termakbul, sebut dan ucapakanlah nama serta perkataan yang indah-indah kepada suami anda.
Beranikan diri untuk menzahirkan kasih sayang anda terhadap si dia.
Akhir kalam
Sayangi dan hargailah pasangan anda seadanya. Baik suami ataupun isteri, lakukanlah yang terbaik ketika waktu anda masih ada. Jangan sia-siakan setiap peluang dan usaha yang mampu memperbaiki hubungan anda suami isteri. Jangan takut akan perubahan sekiranya ia baik untuk masa depan hubungan anda.
Isteri yang baik untuk suami yang baik.
Diharapkan agar perkongsian mengenai cara pikat hati suami ini akan mengeratkan lagi hubungan anda.
Semoga bermanfaat.
1 Comment
Bila isteri dh bagi yg terbaik dh mcm2 cara pikat tapi tetap memandang yg lebih baik..hati seorang isteri sedih…