Bagi yang belum berkahwin, jemput baca ini untuk mengetahui ciri ciri suami yang baik. Bagi yang sudah berkahwin pula, jemput baca untuk betul-betul lihat, samada suami anda sekarang ini ialah suami yang baik.
Apa pentingnya tahu ciri ciri suami yang baik?
Masa belum kahwin, perangai sebenar belum terserlah. Bila dah kahwin, segala-galanya akan terbuka, buat isteri ternganga, macam tak percaya, begitu sekali perangai dia.
Jadi, kalau selepas kahwin, si suami masih lagi ada sifat dan perangai macam ini, ternyata beruntung si isteri. Ya memang suami ada hak pada isteri, tapi bukan bermakna boleh buat apa-apa sahaja sesuka hati.
Ciri ciri suami yang baik
Sila jangan mencebik bibir. Percayalah, spesis suami yang baik dan penyayang masih wujud di muka bumi ini.
Suami yang baik, selain dari rajin solat Subuh berjemaah, ada lagi beberapa perkara lain yang menampakkan dia sebenarnya orang yang baik-baik.
Suami yang baik, masih ucapkan ‘I love you’
Lelaki sebenarnya susah nak luahkan kasih sayang dengan mulut. Egolah katakan. Selalunya dia tunjukkan sayang dengan perbuatan. Entah perbuatan apa, tidaklah diketahui.
Kalau dah bertahun-tahun kahwin, si suami masih lagi tak lepas ungkapan ‘I love you’ dari mulut dia, sememangya dia memang betul-betul sayangkan kita.
Cuma kena hati-hati bila tak pernah kata ‘I love you’, tiba-tiba mengada-ngada cakap ‘I love you’. Itu mungkin petanda dia nak kahwin lain.
Suami yang baik, dia sayangkan mak dia
Bukan bererti dia anak mak, yang sanggup dengar kata mak, lantas menyisihkan isteri. Suami spesis ini adalah suami yang mampu membahagiakan dua wanita yang dia paling sayang. Dua wanita yang penting dalam hidup dia.
Apa yang mak dia nak, dia cuba tunaikan. Ada kalanya, isteri tak setuju. Lantas suami jenis ini bijak mencari penyelesaian.
Sebaliknya, apa yang isteri dia nak, dia akan cuba tunaikan juga. Bukan hanya satu ’side’ semata-mata.
Walaupun ada jenis yang sembunyi-sembunyi, takut mak dia tahu.
Suami yang baik, dia sayangkan mak mertua dia
Bukan sahaja dia sayang mak dia, dia juga sayang mak kita. Walaupun status mak mertua, rasa hormat itu masih ada.
Suami yang baik tidak akan pilih kasih dan lebihkan mak sendiri. Mak mertu itu sama penting bagi dia.
Suami yang masih suka peluk isteri dari belakang
Awwwww, ini ‘sweet’. Bayangkan masa kita basuh pinggan di dapur, si suami rangkul pinggang kita dari belakang sambil membisikkan “Abang sayang ayang”.
Okay, sila jangan muntah hijau. Atau buat-buat muka nak muntah.
Cakaplah apa nak kata. Geli? Silakan terus dengan geli.
Belum rasa belum tahu. Bahagia, tahu?
Suami yang mendahulukan isteri dari kawan-kawan
Kawan ajak pergi futsal, dia belum jawab mesej. Kawan ajak pergi minum kedai mamak, dia biarkan sahaja mesej Whatsapp berlalu. Tidak mahu beri ‘bluetick’ katanya.
Suami jenis ini akan tanya isteri dulu untuk keluar. Bukan takutkan isteri, cuma hormatkan si isteri.
Ataupun, suami jenis ini akan jawab, “Aku ada hal laaa bro. Lain kalilah ye”. Padahal, tak ada apa-apa pun.
Kalau si suami pergi keluar juga, si isteri janganlah bagi renungan tajam sambil kata, “Pergilah, nak balik pukul berapa pun ikut suka”. Terguris hati dia.
Ciri ciri suami yang baik, dia sentiasa akan mendahulukan isteri.
Suami yang asyik nak berkepit dengan isteri
Ini suami yang jenis pergi kedai, dia angkut satu rumah. Si isteri pula yang rimas, nak kena bersiap.
Si isteri janganlah pula rasa si suami menyusahkan pula. Itu tanda dia sayang.
Hidup suami tak ‘complete’ tanpa isteri di sisi. Chewah!
Suami yang jenis buang sampah tanpa disuruh
Situasi normal ialah apabila si isteri asyik nak terpekik-terlolong minta si suami buang sampah yang dah penuh.
Peringatan yang pertama, gagal di laksanakan. Peringatan kedua, juga selalunya dibuat-buat tak dengar oleh suami.
Peringatan ketiga biasanya datang dengan bebelan panjang yang akhirnya akan buat kedua-duanya bermasam muka.
Ini bukan kisah mitos. Ini kisah benar. Orang dah kahwin pasti tahu.
Jadi, apabila suami adalah jenis yang tahu apa yang isteri dia nak, dan jenis yang tahu jalankan tanggungjawab, akan buang sampah tanpa disuruh.
Nampak mudah, tapi besar impaknya dalam hubungan rumahtangga.
Ingat, ciri ciri lelaki yang baik, dia akan buang sampah tanpa disuruh. Nampak remeh, tapi dari sinilah kita boleh lihat tanggungjawab.
Suami yang tak menyampuk bila isteri bercakap
Ini antara yang paling susah bagi suami. Selalunya, bila isteri mula bercerita, suami akan angguk dan dengar, sambil cuba menyampuk dan mematahkan hujah si isteri.
Sebaliknya, suami yang prihatian akan angguk, dengar, berkata “ooohhhh”, mengulang kembali hujah isteri, tanpa sedikitpun ‘judge’ pandangan isteri.
Di sini, komunikasi itu penting. Si suami yang pandai membiarkan isteri meluahkan perasaan tanpa diganggu, adalah suami yang bijak.
Walaupun sebenarnya si suami tidak faham apa-apa.
Selalu puji masakan isteri
Walaupun kadang-kadang rasanya tak seberapa. Kadang-kadang, suami ambil jalan tipu sunat juga untuk jaga hati si isteri.
Suami kena ingat, isteri ada kelebihan memori di sini. Isteri boleh ingat secara terperinci bila si suami komen tentang masakan si isteri yang tak sedap.
Lauk apa, hari apa, tarikah berapa, pukul berapa; semuanya tersemat di minda si isteri.
Memori ini akan dikeluarkan sebagai senjata suatu hari nanti. Buat suami, bersedialah.
Masih pegang tangan isteri
Masa belum kahwin, nak sangat pegang. Benda haram kan sedap. Bila dah kahwin, jarang-jarang perkara ini berlaku. Si suami biasanya jauh sebatu.
Jadi, berterima kasihlah pada suami yang sudi pegang tangan isteri, yang kedutnya semakin nampak jelas lantaran banyak buat kerja rumah.
Suami yang baik, dia tak akan malu untuk pegang tangan isteri sendiri. Makin lama berkahwin, makin dia rapat mahu pegang tangan.
Buat kerja rumah sama-sama
Ini sukar. Sangat sukar.
Selalunya, suami akan biarkan sahaja si isteri macam lipas kudung kemas rumah. Jadi, suami jangan marah bila ‘mintak, tak dapat’.
Ringan-ringankan sikit tangan, hilang sikit beban.
Suami yang baik tak akan tinggalkan isteri terkontang-kanting keseorangan.
Akhir kalam
Bagi suami yang sedang membaca tulisan ini, gunakanlah tips menjadi suami yang baik agar sentiasa disayangi isteri.
Maaf jika penulisan ini mengguris hati isteri yang suaminya lansung tidak ada ciri-ciri di atas. Tidak semua orang bertuah dikurniakan suami yang spesis sebegini.
Bertabahlah, dah banyakkan berdoa untuk suami. Semoga Allah kabulkan doa kita semua.
Semoga bermanfaat.